Mengapa Kesatuan Sekerja di Malaysia hanya 7%? Tindakan Maybank adalah antara puncanya! PDF Print E-mail
Saturday, 25 February 2012

Kini, di Malaysia hanya lebih kurang 7% pekerja sahaja yang menyertai Kesatuan Sekerja. Jumlahi ini adalah sangat rendah berbanding 11 juta tenaga kerja di Negara ini. Salah satu faktor utama adalah tindakan majikan yang membenci kesatuan dan melayan mereka seperti musuh. Ramai pemimpin kesatuan menjadi mangsa akibat tindakan majikan yang mencari pelbagai alasan untuk menyukarkan operasi sesebuah kesatuan.


Begitulah kisahnya dengan  tindakan Maybank yang memecat pemimpin kesatuan yang hanya melaksanakan hak bersuara  mereka di Geneva. Maybank telah memecat dua pemimpin Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) iaitu  Abdul Jamil Jalaludeen (Naib Presiden)  serta  Chen Ka Faat (Bendahari Kehormat). 


Apakah salahnya memegang kain rentang untuk menyoal tindakan  bank yang tidak berlaku adil ke atas pekerjanya? Bukankah tujuan asas  kesatuan adalah untuk melindungi hak pekerja dan ianya mempunyai  hak untuk mengutarakan ketidakpuasan terhadap majikan. Ini adalah semangat di sebalik menjaga keharmonian perindustrian.

Nampaknya Maybank  yang merupakan satu bank yang terbesar di Malaysia tidak memahami pertalian asas ini apabila ia cuba menunjukkan kuasanya dengan memecat dua pemimpin kesatuan.


Tindakan seperti ini akan berterusan selagi tiada undang-undang yang kukuh melindungi kesatuan sekerja. Undang-undang kesatuan sekerja yang sedia ada amat menyukarkan penubuhan sesebuah kesatuan dan sekiranya ditubuhkan ianya sukar untuk beroperasi. Pihak Kerajaan pula hanya berminat untuk meminda undang-undang yang berpihak kepada majikan dan terus merampas hak pekerja. Selagi ada undang-undang seperti ini, majikan seperti Maybank akan terus bermaharajalela.


JERIT akan  terus memberikan sokongan solidariti kepada dua pemimpin pekerja yang dibuang kerja.  Dan berharap semua warga pekerja bersatu menentang penindasan ini. JERIT juga menggesa pihak Kerajaan supaya jangan menutup mata tetapi mengambil tindakan untuk melindungi pemimpin kesatuan ini.


Hentikan penindasan terhadap pekerja!

Hidup perjuangan  Hidup Pekerja

 

 

Last Updated ( Saturday, 25 February 2012 )
Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link