GAJI MINIMA RM900: Kerajaan Barisan Nasional buat “U TURN” PDF Print E-mail
Tuesday, 26 March 2013

 

JARINGAN PEKERJA

 

MALAYSIA

C/O JERIT : 72 B, Taman Sri Langat, Jalan Reko, 43000 Kajang, Selangor

Tel/Fax : 03-87370766  Email:     www.jerit.org

 

 


GAJI MINIMA RM900: Kerajaan Barisan Nasional buat “U TURN”
Majlis Konsultansi Gaji Minima menjadi “BONEKA” semata-mata!

 

Sejak kebelakangan ini, JERIT banyak menerima aduan daripada pekerja migrant bahawa majikan gagal melaksanakan isu gaji minima. Di beberapa tempat seperti Muar, Johor dan Nilai, Negeri Sembilan, para pekerja migran yang telah bantahan. Pada hari ini, JERIT bersama PSM telah hadir ke  Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini. Jadi KSM membongkarkan bahawa Kabinet pada 15 Mac 2013 telah membuat keputusan untuk memberi kelonggaran penuh (blanket deferment) kepada semua SME’s (Industri Kecil dan Sederhana) sehingga 31 Disember 2013. Ini adalah satu “U TURN” dalam pelaksanaan gaji minima RM900 di mana pekerja migran tidak perlu dibayar gaji mimima RM900 sehingga 31 Disember 2013. Tidak cukup dengan ini mana-mana syarikat lain yang merasakan tidak dapat melaksanakan gaji minima juga boleh membuat permohonan kepada KSM.

 

JERIT dan PSM agak terkejut dengan keputusan kabinet yang diambil secara terburu-buru hanya selepas satu bulan pelaksanaan gaji minima sejak Januari 2013.  Alasan bahawa majikan terutamanya SME mengalami masalah dan tidak bersedia untuk menguruskan pembayaran gaji minima adalah tidak masuk akal. Ini kerana keputusan melaksanakan gaji minima dibuat setelah banyak perbincangan, banyak kajian dibuat termasuk oleh World Bank dan hasil perdebatan oleh Majlis Perundingan Gaji Minima.   Oleh itu, keputusan Kabinet untuk memberikan kelonggaran sepenuhnya sehingga akhir tahun ini adalah keputusan politik untuk semata-mata mengembirakan pihak majikan.

 

Keputusan Kabinet ini bukan sahaja memberi kesan kepada pekerja migrant, malah pekerja tempatan juga akan menjadi mangsa. Pada asalnya, salah satu objektif KSM melaksanakan polisi gaji minima ialah untuk mengurangkan pergantungan negara kita terhadap pekerja migran dan membasmi kemiskinan di kalangan pekerja tempatan yang mana 34% pekerja Malaysia masih mendapat gaji kurang dari RM730 sebulan. Tetapi dengan memberi kelonggaran ini, matlamat ini tidak akan dicapai kerana selepas ini, majikan akan lebih rela  mengambil lebih pekerja migran dengan gaji yang murah, dan memangsakan pekerja tempatan.

Menurut KSM, 97% syarikat di Malaysia adalah syarikat SME yang mempunyai  56% daripada tenaga buruh. Ini bermakna kelonggaran diberikan kepada hampir semua majikan dan 56% tenaga buruh terutamanya pekerja migrant tidak akan menikmati gaji minima.

Apa yang membimbangkan kami adalah apakah jaminan  bahawa gaji minima akan dilaksanakan oleh syarikat SME mulai Januari 2014. Adakah masa yang diberikan ini adalah untuk para majikan mencari lebih banyak alasan dan helah untuk terus tidak memberikan gaji minima.  Dalam mesyuarat lalu pada 6 Februari 2013, JERIT dan PSM telah mencadangkan bahawa pihak Kerajaan mewujudkan dana untuk membantu SME dalam pelaksanaan gaji minima. Nampaknya pihak Kerajaan lebih sibuk membelanjaan wang untuk memancing undi  dan tidak serius dalam mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dalam jangkamasa panjang.

Oleh itu jelas dilihat bahawa GAJI MINIMA ini adalah satu gimik pilihanraya semata-mata. Pengumuman Ada, Pelaksanaan Tiada. Kerajaan BN CAKAP TAK SERUPA BIKIN.

 

Dikeluarkan oleh,

Sivarajani.M

Sekretariat JERIT

Last Updated ( Thursday, 25 September 2014 )
Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link