Menteri Kewangan- Jangan Kelirukan Rakyat! Cukai GST TETAP akan Bebankan Rakyat! PDF Print E-mail
Friday, 21 February 2014
Kenyataan Media: 21 Februari 2014

Menteri Kewangan- Jangan Kelirukan Rakyat!
Cukai GST TETAP akan Bebankan Rakyat!

Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) membantah  kenyataan Menteri Kewangan kedua Dato Ahmad Husni Mohamad Hanadzalah yang mengatakan cukai GST 6% bukan satu beban kepada rakyat. Menteri kewangan nampaknya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataannya.

6% cukai GST atau tambahan cukai hanya RM15.06 bagi keluarga yang berpendapatan RM2000 sepertimana yang dikatakan oleh Menteri tidak munasabah. Apakah yang dimaksudkan oleh Menteri sebagai tambahan cukai? 
Bagi sebuah keluarga yang berpendapatan RM2000, mereka hanya mampu menggunakan kesemua pendapatan mereka untuk perbelanjaan asas seperti barangan dapur, perbelanjaan sekolah, perbelanjaan pengangkutan pergi balik kerja, pembayaran bil api dan air dan bayaran pinjaman perumahan ataupun sewa rumah. Jika cukai GST 6% dilaksanakan keluarga tersebut perlu membayar RM120 sebulan untuk cukai barangan dan perkhidmatan.(Cukai GST)

Jika betul apa yang dikatakan oleh Menteri bahawa keluarga tersebut hanya membayar RM15.06 cukai, adakah ini bermaksud kerajan bagi pengecualian cukai sebanyak 87.45% kepada keluarga yang berpendapatan RM 2000 kebawah ?

YB Menteri mengaku sendiri dengan Pelaksanaan cukai GST akan ada pertambahan dalam kenaikkan harga barang sebanyak 1.8%. Ini bermakna kenaikkan harga 1.8%  adalah bagi  barangan dan perkhidmatan yang sedang dan sudahpun naik harga menjelang 1 April 2015.

Kini rakyat sudahpun menderita akibat kenaikkan harga barangan dan  perkhidmatan yang kian bertambah. Menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz   hutang seisi rumah di Malaysia adalah 83% daripada KDNK dan yang tertinggi di Asia berbanding dengan Singapura 67% dan Hong Kong 58%. Apakah nasib rakyat jika cukai GST dilaksanakan?

Sehingga hari ini kerajaan belum mendedahkan apakah 40 barangan  yang  Zero Rated Tax. Lagipun  tiada jaminan bahawa harga barangan zero rated tidak akan naik harga. Sebagai contoh, beras adalah barangan zero rated namun  barangan yang digunakan untuk menghasilkan beras dan memprosesnya seperti baja, plastik dan pengangkutan untuk mengedarkannya  akan dikenakan cukai GST. Maka secara langsung cukai  GST dalam barangan lain untuk memproses beras dan perkhidmatan pengangkutan akan menyebabkan kenaikkan dalam harga beras.

Kerajaan juga mengelirukan rakyat dengan mengatakan rakyat hanya perlu bayar  cukai GST 6% berbanding dengan cukai  Sales and Service tax 10% (SST) yang lebih tinggi. Cukai SST adalah cukai yang dikenakan keatas barangan mewah dan perkhidmatan mewah sahaja. Cukai GST pula dikenakan keatas semua barangan kecuali 40 barangan.  Golongan berpendapatan rendah tidak mendapat apa apa faedah dengan penggantian cukai SST kepada Cukai GST ini.  Bukannya golongan berpendapatan rendah yang kerap menggunakan perkhidmatan hotel, makan di restoran franchise, beli barang kemas dan barangan rumah yang mewah.
 
Maka JERIT tetap berpendirian cukai GST tidak harus dilaksanakan kerana ia adalah satu bebanan kepada rakyat yang sudahpun dibebani dengan kenaikkan harga barangan, perkhidmatan dan hutang seisi rumah.

Cukai GST cukai yang miskinkan Rakyat!

Dikeluarkan oleh,
Parames.E
Koordinator JERIT
Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link