Rayuan Kepada Ahli Parlimen Tolak TPPA dan GST.Himpunan Di Parlimen pada 19 Mac 2014 PDF Print E-mail
Friday, 14 March 2014

Gabungan Bantah GST/TPPA

 

KENYATAAN AKHBAR

 

14 Mac 2014


RAYUAN KEPADA AHLI PARLIMEN TOLAK TPPA DAN GST

 

HIMPUNAN DI PARLIMEN PADA 19 MAC 2014


Kini setelah berunding sejak tahun 2010, pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kerajaan Malaysia masih gagal untuk memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa perjanjian TPPA ini akan memberikan manfaat kepada rakyat .

 

Kajian ‘Cost Benefit  Analysis’ yang dimulakan pada bulan September ,2013 yang lalu juga masih belum selesai dan dirahsiakan . Caucus Parlimen yang dianggotai  Ahli Parlimen BN dan PR, juga gagal meneliti perjanjian ini kerana dokumen perjanjian ini dirahsiakan daripada mereka .

 

Justeru itu, segala kerisauan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak NGO/Kesatuan nampaknya benar dan hingga kini MITI masih gagal diberikan keyakinan bahawa kepentingan rakyat akan terjaga.

 

Tetapi pada masa yang sama, pihak MITI terus berunding hampir setiap bulan dengan Amerika , saling berbincang dan bersetuju dengan pelbagai klausa dalam 29 bab perjanjian ini .

 

Kami bertanya, apakah yang telah dipersetujui dari segi pengurangan tariff? Apakah produk pertanian yang tidak akan dilindungi lagi  Berapa tahun lanjutan paten harga ubat yang telah dipersetujui? Kami mula hilang kepercayaan kepada MITI yang mungkin akan gagal menjaga kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

 

Menteri, Dato’Seri Mustapha Mohamed memberikan kepastian bahawa teks perjanjian ini akan dibentangkan dalam Parlimen .

 

Justeru itu kami gabungan pertubuhan NGO/organisasi sivil/kesatuan sekerja akan mengadakan suatu perhimpunan diluar Parlimen, merayu kepada semua ahli Parlimen agar JANGAN SOKONG TPPA  ini .

 

Selain daripada TPPA, Goods And Service Tax (GST)  6% merupakan malapetaka yang bakal menimpa rakyat Malaysia menjelang 1 April 2015. Dengan kos kehidupan yang sudah pun tinggi, lebih kurang 80% rakyat yang berpendapatan rendah akan dibebani lagi dengan cukai tambahan kepada segala bentuk barangan yang dibeli. Sebelum ini pada 27/2/14 Timbalan Menteri kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataannya mengatakan bahawa rang undang-undang GST akan dibentang dalam persidangan bulan Mac ini.

 

GST 6% hanyalah satu permulaan dan kerajaan Malaysia bakal menaikkan peratus cukai pada bila-bila masa. Selama 10 tahun kebelakangan ini pendapatan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah tidak naik-naik lagi. Tetapi harga barangan termasuk barangan asas dan perkhidmatan sudahpun naik. Selepas tarik balik  subsidi bahan api dan subsidi gula harga barangan dan perkhidmatan naik dengan begitu mendadak.

 

YB Timbalan Menteri kewangan  mengaku sendiri bahawa dengan Pelaksanaan GST akan ada pertambahan dalam kenaikkan harga barang sebanyak 1.8%. Ini bermakna kenaikkan harga 1.8%  adalah bagi  barangan dan perkhidmatan yang sedang dan sudahpun naik harga menjelang 1 April 2015

 

Kini rakyat sudahpun menderita banyak akibat kenaikkan harga barangan dan  perkhidmatan yang kian bertambah. Menurut Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz   hutang seisi rumah di Malaysia adalah 83% daripada KDNK dan yang tertinggi di Asia berbanding dengan Singapura 67% dan Hong Kong 58%. Apakah nasib rakyat jika GST dilaksanakan?

 

Oleh itu, kami sebulat suara bercadang untuk mengadakan protes secara aman di hadapan Parlimen untuk merayu dan memaklumkan kepada wakil- wakil rakyat yang hadir ke Parlimen untuk persidangan, agar MENOLAK  TPPA dan RANG UNDANG2 GST jika ianya dibentangkan. Ini adalah penting untuk semua lapisan masyarakat kerana implikasi TPPA dan GST adalah amat serius kepada rakyat. Maklumat protes aman kami seperti berikut:

 

Tarikh: 19 March 2014

 Masa: 9.30 pagi

Tempat: Pintu masuk ke Parlimen

 

Kami amat berharap , pihak Ahli Parlimen mengambil berat kedua-dua isu ini dan melaksanakan tugas mereka sebagai wakil rakyat , mendengar suara rakyat . Kesan jika kedua-dua TPPA dan GST ini kepada rakyat Malaysia dan generasi yang akan datang adalah amat teruk , dan ianya perlu ditolak sekarang

 

Sekian , terima kasih .

 

SIVARAJAN

Koordinator BANTAH GST/TPPA

 

016 679 8005

Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link