YAB Perdana Menteri : CUKAI GST PASTI MEMBEBANKAN RAKYAT BIASA ! PDF Print E-mail
Thursday, 11 September 2014


​GABUNGAN BANTAH CUKAI GST

C/O JARINGAN RAKYAT TERTINDAS (JERIT)

d/a 72B, Taman Sri Langat, Jalan Reko, 43000 Kajang, Selangor

Tel/Faks: 03-87370766

 

KENYATAAN AKHBAR 11/9/2014


YAB Perdana Menteri : CUKAI GST PASTI  MEMBEBANKAN RAKYAT BIASA !

 

 

Kami dari Gabungan BANTAH Cukai GST merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia , Datuk Sri Najib Tun Razak yang menyatakan bahawa Kerajaan Barisan Nasional akan memastikan Cukai GST tidak membebankan rakyat dan akan memberi faedah kepada rakyat. Malah beliau telah menyatakan bahawa  GST akan membantu bayar bonus kakitangan kerajaan.

 

Persoalannya disini, kalau hanya Cukai GST yang boleh membantu rakyat , apa yang telah dibuat dengan  pendapatan negara yang lain seperti cukai pendapatan, eksport negara, pendapatan daripada Petronas dan lain –lain  pendapatan negara?

 

Kenapa kerajaan beri gambaran hanya Cukai GST yang dapat menyelamatkan negara ?  Adakah kerajaan ingin nyatakan bahawa Dasar Fiskal negara sepenuhnya bersandarkan kepada Cukai GST?

Bukankan ini bermaksud pengurusan pendapatan dan sumber negara dijalankan dengan tidak efisien ?

 

Walau apa pun alasan atau hujah kerajaan, untuk amalkan Cukai GST, namum kami dari Gabungan Bantah Cukai GST membantah sekeras-sekerasnya pengamalan Cukai GST kerana Cukai GST pasti akan membebankan rakyat .

 

Kami Membantah kerana ;

 

1.    Cukai GST melebarkan lagi jurang antara yang kaya dengan yang miskin

 

·         Sekarang ini hanya 15% rakyat yang perlu membayar cukai pendapatan manakala 85% tidak termasuk dalam kategori yang mampu bayar cukai pendapatan, kerana pendapatan mereka yang rendah. .

 

·         Cukai GST akan menyebabkan golongan rakyat berpendapatan rendah juga perlu membayar cukai.

 

 

·         Sementara semua rakyat dipaksa bayar cukai GST tanpa mengira yang kaya atau yang miskin, golongan gaya mendapat pengurangan kadar cukai pendapatan dan cukai korporat. Cukai korporat yang merupakan sumber pendapatan cukai yang utama untuk Kerajaan Persekutuan telah berkurang daripada 40% pada tahun 1980-an ke 25% sekarang ini, dan akan lagi dikurangkan kepada 24% pada tahun 2014. Ini akan menyebabkan jurang pendapatan antara rakyat miskin dengan golongan yang kaya semakin lebar.

 

·         Oleh itu, GST merupakan satu cukai yang regresif. Bukan sahaja tidak akan mengagihkan semula kekayaan negara untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, malah ia akan memburukkan lagi situasi ketidakadilan sosial di negara kita.

 

 

2.Cukai  GST membebankan rakyat dan memburukkan lagi inflasi

 

 

·         Pelaksanaan cukai GST yang tambah nilai ke atas barangan pastinya akan memburukkan lagi inflasi sehingga beban rakyat biasa bertambah hebat.

 

·         Gaji sebenar rakyat biasa Malaysia tidak bertambah mengikut peningkatan kos kehidupan. Gaji minima RM 900 untuk Semenanjung dan RM 800 untuk Sabah dan Sarawak adalah begitu rendah sekali. Golongan berpendapatan rendah tidak mampu menanggung beban tambahan akibat daripada pelaksanaan GST.

 

·         Rakyat sedang berdepan dengan gelombang kenaikan harga yang begitu hebat, dengan kenaikan harga gula, tambang bas, tambang LRT, bayaran tol, cukai taksiran, tarif elektrik dan sebagainya. Ini sudah pun amat membebankan, apatah lagi dengan pelaksanaan cukai GST yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015?

 

·         Walaupun kerajaan mengatakan bahawa akan mengecualikan cukai GST atau menetapkan kadar 0% untuk barangan keperluan asas, tetapi cukai GST akan menyebabkan harga input untuk barangan tersebut turut meningkat sehingga menaikkan harga barangan tersebut. Tambahan pula, memang kerajaan tidak dapat menjamin bahawa pelaksanaan GST tidak akan menyebabkan harga barangan terus naik.

 

·         Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) setahun sekali tidak mencukupi untuk menangani kesan hasil daripada pelaksanaan GST yang memaksa rakyat berpendapatan mengeluarkan lebih wang untuk membayar cukai GST setiap kali membeli barangan pada setiap hari.

 

 

3.    Cukai GST mengurangkan kuasa membeli rakyat biasa dan menjejaskan ekonomi

 

·         Pelaksanaan GST yang akan menyebabkan kenaikan harga barang akan mengurangkan kuasa membeli rakyat biasa.

 

 

·         Wang yang boleh dibelanjakan oleh rakyat bawahan dan kelas menengah akan terus merosot. Ini akan menyebabkan rakyat kurangkan perbelanjaan untuk barangan keperluan asas yang dihasilkan oleh pengilang tempatan sehingga menjejaskan ekonomi domestik.

 

 

4. Cukai GST memaksa rakyat bayar untuk kegagalan pengurusan kewangan oleh kerajaan

 

·         Korupsi, ketirisan, salahguna kuasa dan penyelewengan telah menyebabkan negara kita kehilangan sekurang-kurangnya RM 28 bilion setahun. Ini merupakan kegagalan kerajaan menguruskan kewangan awam dan menangani gejala rasuah, tetapi sekarang rakyat dipaksa untuk membayar kos yang disebabkan oleh kegagalan ini.

 

·         Kerajaan gagal memastikan golongan kaya dan korporat membayar cukai, malah membiarkan pengaliran wang secara haram sebanyak RM 174 bilion dalam tempoh satu tahun sahaja untuk 2011. Kerajaan memaksa rakyat biasa membayar cukai apabila golongan kaya melarikan diri daripada membayar cukai. Ini bagaikan menghukum seseorang disebabkan kesalahan orang lain.

 

·         Kerajaan tidak patut mengutip cukai GST daripada rakyat jelata selagi masih gagal menyelesaikan masalah ketirisan dan penyelewengan yang berleluasa dalam sistem pentadbiran.

 

 

Cukai  GST adalah satu hukuman ke atas rakyat miskin akibat daripada kegagalan kerajaan mengutip cukai daripada golongan kaya. Cukai GST akan memiskinkan lagi rakyat miskin.

 

Maka bagi pihak rakyat Malaysia , kami dari Gabungan Bantah Cukai GST menuntut YAB Perdana Menteri , dengan segera ;

 

1)    Hentikan rancangan untuk melaksanakan Cukai GST

 

2)    Adakan referendum untuk mendapatkan persetujuan daripada rakyat sebelum tergesa-gesa melaksanakan cukai GST.

 

 

CUKAI GST : Cukai yang Memiskinkan Rakyat

 

 

Kenyataan dikeluarkan oleh :  Gabungan Bantah  Cukai GST (Fb: bantah GST)

 

Untuk maklumat lanjut ; hubungi ;- Tel no. 0193055906- Parames. E

Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link