Kilang proses sampah layan pekerja macam sampah ! PDF Print E-mail
Wednesday, 15 October 2014
Kilang proses sampah layan pekerja macam sampah !
5 bulan tak bayar Gaji !

 

14 Oktober 2014, Semenyih - Adalah amat sedih apabila kaum pekerja yang menguruskan sampah harian kita iaitu antara kerja yang begitu kotor dengan kondisi kerja yang menjijikkan kini pula dihukum dengan tidak dibayar gaji untuk 5 bulan !

Hari ini, Lebih 100 pekerja; pekerja tempatan dan pekerja migrant dari Bangladesh dan Indonesia  berdiri bersama dengan kain rentang dan perasaan yang amat kecewa di hadapan kilang Recycle Energy Sdn Bhd yang terletak di Jalan Kacau, Kampung Pasir, Semenyih…

“Kami tidak dibayar gaji dari bulan Mei 2014, pekerja nak makan pasir ka?” “bagaimana kami nak raya?” “kereta saya hampir tarik kerana tak bayar” – keluhan-keluhan ini meningkatkan kemarahan saya terhadap majikan Recycle Energy Sdn Bhd.

Kesemua 167 pekerja tidak dibayar gaji dari bulan Mei 2014. Yang lebih teruk adalah EPF dan SOCSO dipotong daripada gaji mereka tetapi tidak dicarum dalam  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) selama satu tahun. Begitu juga bayaran OT tidak dibayar untuk lebih setahun. Ini adalah rompakan siang hari dimana titik peluh kaum pekerja bukan sahaja tidak dibayar malah dicuri dari mereka,

Pelbagai persoalan berlegar di minda saya. Bagaimana para pekerja dan keluarga mereka makan untuk 5 bulan ini? Siapa yang tanggung kos pelajaran anak-anak mereka ? Bagaimana mereka selesaikan bayaran-bayaran lain seperti sewa rumah, hutang kenderaan dan lain-lain?


Bagi kaum Majikan, biasanya jika satu perniagaan tumpas, mereka akan tutup dan buat perniagaan lain. Pengurusan kilang ini memang lalai kerana kilang ini ditutup kerana masalah pencemaran alam sekitar dan isu-isu pengurusan dan bukan kerana tiada perniagaan.

 

Isu ini telahpun dibawah ke perhatian Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Bangi pada bulan Julai 2014. Kes difailkan dan seperti dijangka pekerja menang di Mahkamah Buruh. Keputusan mahkamah berpihak kepada pekerja dan majikan perlu bayar kesemua gaji tunggakan sebelum 17 September 2014. Namun kemenangan pekerja adalah kemenangan kertas kosong. Mereka menang tetapi tak dapat duit. Keputusan mahkamah tidak dihormati. Adakah majikan akan dihukum kerana langgar keputusan mahkamah? Biasanya majikan akan melepaskan perniagaan yang tidak beruntung dan membenarkan bangunan ini disita. Yang menjadi mangsa adalah kaum pekerja. Majikan tidak akan dipenjara.

 

Hari ini, pegawai JTK Bangi hadir ke tempat piket dan meminta pekerja sabar dan teruskan tindakan mahkamah untuk istiharkan kilang bankrap. Adakah pegawai JTK boleh beri jaminan pekerja akan dibayar gaji jika keadaan itu wujud?

 

Mengikut undang-undang Syarikat, selepas syarikat diistiharkan bankrap, aset kilang akan jual. Jumlah wang yang didapati akan diguna untuk selesaikan hutang-hutang syarikat dan pembayaran gaji pekerja adalah sebahagian daripada senarai tersebut. Hampir 99% pekerja akan jadi mangsa dan kekal tangan kosong.  Maka undang-undang  Syarikat tidak membantu kaum pekerja. Ia hanyalah sandiwara sistem perundangan yang pro majikan.

 

Situasi ini menjadi norma di Malaysia.  Syarikat ini bukan syarikat pertama dan bukan juga syarikat terakhir. Sejak 15 tahun lalu,  Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)  mula berhadapan dengan kes-kes begini, dan kami telahpun mengutarakan kepada kerajaan untuk membentuk satu tabung pemberhentian kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM). Fungsi sama seperti EPF dan SOCSO. Pekerja dan majikan boleh menyumbang ke tabung ini dan duit ini boleh digunakan untuk membayar kepada pekerja untuk beberapa bulan apabila berlaku kilang bankrap atau majikan larikan diri.

 

Yang dicadangkan dahulu adalah kaum pekerja hanya perlu bayar antara 50 sen sehingga RM 1 sebulan. Namun cadangan ini tidak disokong oleh kaum majikan dan Kerajaan pula tiada kewibawaan politik untuk melaksanakannya. Sehingga sekarang tuntutan ini tidak dipandang serius oleh kerajaan. Dalam bajet 2015, Perdana Menteri umumkan untuk membuat penambahbaikan Akta Buruh 1955, bolehkah harap tabung pemberhentian pekerja akan dipertimbangkan atau pekerja akan terus dizalimi oleh kaum majikan?

Sehingga hari ini, pekerja-pekerja Recycle Energy Sdn Bhd masih sedang “punch card” @ hadir kerja, dengan harapan mereka akan mendapat gaji tunggakan mereka. Tetapi pada pandangan saya, hanya kuasa pekerja yang berani berjuang sahaja mampu menyelesaikan isu mereka, dan bukan undang-undang yang lemah dan tidak pro pekerja di bawah kerajaan kapitalis ini!


Ditulis oleh,

M.Sivaranjani

PSM Klang
Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link