Apakah dosa kami ..Keluhan seorang pekerja dari Gemenche, Negeri Sembilan PDF Print E-mail
Thursday, 03 September 2015

Saya bekerja di syarikat Supermax Worthy Sdn.Bhd. Syarikat ini terletak di alamat No.2743, Jalan Bemban, Kawasan Perindustrian Jasin, 77 000 Jasin, Melaka. Saya bekerja di syarikat ini selama 11 tahun. Saya bermula dengan gaji asas RM320 dan kini setelah pelaksanaan Gaji Minima, baru gaji asas saya  diselaraskan kepada RM900.

 

Ini bermaksud pekerja baru dan pekerja yang berpengalaman 11 tahun seperti saya tiada sebarang perbezaan dalam jumlah gajinya. Setelah potongan EPF dan SOCSO, gaji yang saya bawa balik ke rumah adalah lebih kurang RM720. Maka, apakah undang-undang Gaji Minima ini membawa satu perubahan dalam hidup pekerja seperti saya? Seorang pekerja yang 11 tahun bekerja tiada satu kadar kenaikan gaji yang adil.

Tambahan pula, baru-baru ini, majikan mengumumkan bahawa syarikat di Jasin ini akan tutup tidak lama lagi. Maka, semua pekerja, lebih kurang 300 akan dipindahkan ke anak syarikat mereka yang berada di Kulai Jaya dan Tebrau di Johor. Saya dan ramai pekerja tidak setuju dengan pemindahan ini. Maka, pilihan yang diberi oleh majikan adalah berhenti kerja sahaja.

 

Kami tidak mempunyai kesatuan, tetapi wakil-wakil pekerja sudah mengadakan perbincangan untuk meminta pampasan yang sepatutnya kepada pekerja mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing. Tuntutan kami tidak didengar oleh majikan. Kini, banyak syarikat sedang ditutup dan pekerja turut hilang kerja. Saya risau saya juga akan menjadi salah seorang mangsa dalam situasi yang sama.

Saya dan rakan-rakan kerja saya yang lain tidak mahu tinggalkan keluarga di sini dan tinggal di hostel apabila pindah kerja ke Johor nanti. Kami juga diberitahu, syarikat di Kulai yang kami akan dipindahkan ialah JCY International Bhd, di mana syarikat ini menjadi isu hangat dalam negara pada Ogos tahun lepas apabila salah seorang pekerja Nepal meninggal dunia kerana tiada bantuan untuk membawa keluar dari hostel ke hospital yang jauh dari tempat tinggal. Akhirnya pekerja itu meninggal dunia di hostel kerana sakit jantung. Apakah jaminan untuk saya dan rakan-rakan saya jika bersetuju pindah ke syarikat tersebut.

Saya dan rakan-rakan saya walaupun sudah lama bekerja di syarikat Supermax Worthy Sdn.Bhd tetapi hak kami sebagai seorang pekerja tidak dihormati. Sekarang, syarikat sudah hentikan kerja lebih masa (OT) dan kami juga dengar bahawa akan menghentikan khidmat pengangkutan kepada pekerja dalam masa terdekat, dan ini juga satu cara supaya pekerja sendiri berhenti.   Inilah situasi saya dan rakan-rakan sekerja saya.

 

*Ini satu keluhan seorang pekerja yang menetap di Gemenche kepada penyelaras Jerit semasa berjumpa denganya pada 24 Julai 2015. Jika sesiapa ingin memberi tekanan kepada majikan dengan menulis surat @ panggilan 06-5295841 atau surat kepada Jabatan Tenaga Kerja Putrajaya sebagai solidariti untuk pekerja-pekerja Syarikat Supermax Worthy Sdn.Bhd.

 

Oleh,
Sivaranjani.M
Sekatariat JERIT
010-2402159
Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link