SELAMAT HARI MALAYSIA ;TOLAK POLITIK PERKAUMAN PDF Print E-mail
Wednesday, 30 September 2015

Selamat Hari Malaysia yang ke 42  kepada rakyat Malaysia. Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia dan ia juga amat bermakna bagi Sabah dan Sarawak kerana 16 September juga adalah penamatan zaman penjajahan British di kedua negeri itu.  

 

Sementara negara menyambut hari yang bersejarah ini, negara dan rakyatnya dibelenggui isu  penyelewengan 1MDB, kejatuhan nilai ringgit di pasaran dunia yang menyebabkan ekonomi semakin merudum dan rakyat pula dibebani dengan kos hidup yang tinggi, cukai GST yang menekan dan gaji rendah dan juga ancaman kehilangan kerja kerana keadaan ekonomi tidak begitu mengalakkan.   

 

Namun isu yang lebih besar yang melanda negara pada masa kini, ialah isu perkauman yang dimainkan oleh pihak pemerintah untuk pecah- belahkan rakyat yang bersatu menuntut perubahan pemerintahan korup yang wujud sekarang. Kejayaan Himpunan 34 jam BERSIH 4 telah menunjukkan bahawa rakyat sanggup tidur di jalanraya demi menuntut perubahan dan membantah kerajaan yang korup dan zalim. Pertunjukkan kuasa rakyat ini telah mengugat kerajaan Barisan Nasional.

Maka kad perkauman dimainkan oleh pemerintah yang korup untuk pecah belahkan rakyat Malaysia yang bersatu. Himpunan berasaskan kaum dianjur oleh kroni pihak pemerintah untuk mewujudkan keadaan tegang diantara kaum pada hari Malaysia. Ini adalah satu perkara yang terkutuk yang mencemarkan Hari Malaysia.

 

Namun apa yang pihak pemerintah gagal sedar adalah rakyat Malaysia sebilangan besar celik terhadap niat jahat pemerintah dan tidak termakan kepada propaganda perkauman mereka. Rakyat Malaysia menolak politik perkauman dan perkara ini boleh dilihat daripada tinjauan Merdeka Centre dimana 53% rakyat kaum Melayu menolak himpunan berasaskan perkauman.

 

Cukup sudah toleransi kita kepada kerajaan yang korup ini. Negara ini adalah hasil usaha generasi yang lepas untuk generasi yang akan datang. Adalah tugas kita untuk pastikan ia tidak terbakar dalam api perkauman dan kekayaannya dirompak.

 

 Jom bergabung tenaga untuk menyelamatkan negara kita Malaysia dan tolak politik perkauman. Tunjukkan semangat Malaysia yang bersatu padu demi menyelamatkan negara tercinta ini.

 

JERIT mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia. Teruskan usaha membasmi politik perkauman dan bersatulah sebagai rakyat Malaysia untuk memperjuangkan hak ekonomi, politik dan sosial kita.

 

Hidup Rakyat! Hidup Perjuangan!

Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link