ADAKAH DEMOKRASI WUJUD DI PARLIMEN MALAYSIA? |
![]() |
![]() |
![]() |
Friday, 03 July 2009 | |
Pada 17 Jun 2009 akhbar Sinar Harian memetik kata Dr Nasir Hashim, ADUN Kota Damansara bahawa demokrasi telah mati di Parlimen. Dr. Nasir mempersoalkan, kalau bukan di Parlimen di manakah aspirasi rakyat boleh disuarakan. Itulah soalan yang wujud hari ini. Adakah mengatakan “Hidup Rakyat, Bubar DUN” satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan sehingga boleh digantung 2 hari dari menghadiri sidang parlimen Hanya di Parlimen Malaysia anda boleh melihat pelbagai drama dan aksi kadang-kadang yang tidak boleh diterima akal. Kalau kita perhatikan setahun selepas Tsunami Politik 2008, Parlimen Malaysia nampaknya tidak berubah walaupun rakyat menuntut perubahan. Kerajaan BN dan Speaker Dewan yang pro-BN, kadang–kadang menjadikan Parlimen sebagai “rubber stamp” untuk kepentingan sesetengah pihak. Sejak peningkatan Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen, rakyat tidak dibenarkan untuk masuk ke Parlimen memberi memorandum dan mengutarakan masalah mereka. Malah sekarang setiap kali sesebuah masyarakat atau kumpulan ingin memberi memorandum kepada kerajaan di Parlimen, beratus-ratus polis akan menunggu di hadapan Parlimen untuk menghalang. Kadang-kadang perintah mahkamah diambil untuk menghalang orang ramai berhimpun secara aman. Bukan sahaja rakyat tiada kebebasan di Parlimen, ahli Parlimen pun tiada kebebasan bersuara di Parlimen. Pada sidang Parlimen yang lepas, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh digantung satu tahun kerana mempersoalkan perkaitan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Keadaan ini amat pelik, kerana kalau soalan ditanya, orang yang berkenaan iaitu Perdana Menteri kenalah jawab soalan itu. Kenapa pula Speaker perlu gantung Gobind Singh? Bukankah Speaker sepatutnya lebih neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Lagi satu insiden berlaku baru-baru ini sebelum Parlimen bersidang pada bulan Jun 2009, di mana Khairy Jamaluddin, MP Rembau menyuruh semua Wakil Rakyat PR “berdiam diri" dan jangan mempersoalkan isu PKFZ di Parlimen lagi. Dia berkata satu Jawatankuasa Audit telah dibentuk, dan tak perlu menyoalkan perkara. Malah usul yang dibawa oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat telah ditolak oleh Speaker. Persoalannya, siapakah Khairy untuk menghalang pandangan Wakil Rakyat lain berhubung PKFZ ini. Adakah kerana Wakil Rakyat BN berbuat salah kes yang melibatkan RM12 bilion boleh ditutup begitu sahaja untuk menjaga nama baik BN? Kenapa isu penyelewengan yang begitu besar tidak dibenarkan didebat di Parlimen? Bukankah wang yang diselewangkan itu ialah wang rakyat ? Lagi menyedihkan ialah hanya di Parlimen Malaysia seorang wakil rakyat digantung dari Parlimen selama satu hari kerana berdiri apabila Timbalan Speaker suruh duduk. Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua digantung selama sehari oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya kerana tidak mendengar arahannya untuk duduk waktu perbahasan isu PKFZ. Inilah cara-cara yang digunakan oleh Kerajaan BN dan kuncu-kuncunya untuk menghalang isu dan suara rakyat untuk didengari di Parlimen. Namun begitu, sekiranya Ahli Parlimen BN buat semuanya okay. Contohnya, ucapan yang berunsur sexist, perkauman dan tidak professional dibenarkan oleh Speaker asalkan ia dibuat oleh Ahli Parlimen BN. Tiada tindakan diambil untuk mendisiplinkan mereka. Ini jelas dapat dilihat bahawa walaupun ahli Parlimen PR ramai yang digantung kerana cuba menyuarakan isu tetapi walaupun kenyataan bodoh atau berunsurkan sexist dan perkauman dibuat ahli BN seorang pun tidak pernah digantung. Satu lagi perkara yang perlu ditegur terhadap semua ahli Parlimen ialah kedatangan ke sidang Parlimen. Ada banyak Wakil Rakyat yang ponteng dari menghadiri sidang Parlimen sesuka hati. Ini jelas dapat dilihat apabila Akta DNA diluluskan hanya 48 Wakil BN dan 47 Wakil PR yang hadir. Ke mana perginya Wakil Rakyat yang selebihnya. Adakah ini hadiah kepada rakyat yang memilih anda? Ponteng sidang sesuka hati dan Parlimen tidak akan mengambil apa-apa tindakan. Lebih-lebih lagi 33 Wakil Rakyat PR yang telah menghampakan rakyat yang memilih mereka kerana inginkan perubahan. Jangan lupa rakyat memilih anda untuk membawa perubahan, dan bukan susah untuk rakyat membuang anda bila-bila masa sahaja. Perkara-perkara ini jelas sekali menunjukkan kewibawaan dan demokrasi Parlimen Malaysia yang hanya setakat kata-kata dan tulian di atas kertas dan bukan lagi dalam pengamalannya. Speaker dan Parlimen adalah di pihak BN dan bukannya di pihak rakyat. Keutuhan Parlimen semakin hari semakin merosot dengan pengendalian sidang Dewan Rakyat yang berpihak kepada orang berkuasa dan bukan rakyat. Rakyat telah mula hilang kepercayaan terhadap ketulusan demokrasi berparlimen di Malaysia. Parlimen seolah-olah beroperasi untuk kepentingan segelintir pihak berkuasa tanpa menghiraukan kepentingan rakyat yang memilih mereka untuk meyuarakan masalah rakyat. Amaran kepada semua Wakil Rakyat jika ia berterusan rakyat tidak akan berdiam lagi, 8 Mac telah menunjukkan kuasa rakyat dan mungkin ia akan kembali untuk menentang sistem jika hilang ciri demokrasinya. |
|
Last Updated ( Friday, 03 July 2009 ) |