Hari Malaysia ke 50: Kehakiman Bebas Masih Menjadi Mimpi PDF Print E-mail
Friday, 13 September 2013

Sambutan Hari Malaysia ke 50  & Kemerdekaan ke 56

Kehakiman Yang Bebas Masih Menjadi Mimpi

 

Sementara kita bersiap sedia menyambut ulang tahun yang ke 50 pembentukan Negara Malaysia, 13 Aktivis yang membantah perampasan kuasa di Perak pada 2009 telah dipenjarakan oleh Mahkamah Kuala Kangsar untuk 2 tahun mandatori dan dinafikan penggantungan penghakiman sementara rayuan dibuat.

 

Alasan hakim Norsalha Hamzah dalam menjatuhkan 2 tahun penjara mandatori ialah “kepentingan awam” dan alasan untuk menafikan penggantungan penghakiman ialah “demi menjaga kesucian monarki”. Alasan-alasan hakim jelas menunjukkan bahawa hukuman ini dijatuhkan bukan untuk keadilan tetapi untuk melindungi dan menjunjung kuasa-kuasa yang menindas rakyat. Hukuman terhadap 13 aktivis ini adalah sebagai amaran kepada mereka yang berani mempersoalkan kerajaan yang zalim ini.

 

Mengikut Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan kebebasan bersuara dan berhimpun adalah satu kebebasan asasi. Hak ini adalah penting demi memastikan kita hidup sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah. Tetapi kini dengan hukuman sebegini terhadap aktivis yang memperjuangkan demokrasi dan hak sebagai rakyat Malaysia, mesejnya jelas bahawa hak kita untuk berhimpun dan bersuara dicabuli oleh badan kehakiman yang sepatutnya melindungi dan mempromosikan hak asasi rakyat.

Badan Kehakiman seharusnya menjadi “check and balance” kepada kerajaan dan parlimen, kini bertindak mengikut arahan pihak-pihak yang berkuasa.  Bagi Negara yang sudah mencapai ulangtahun yang ke-50 , dengan pembangunan sosio-ekonomi yang tinggi, ini adalah satu kelemahan yang besar yang akan menjejaskan masa depan generasi yang akan datang dimana hak–hak asasi mereka akan terus dicabuli kalau tiada perubahan dalam badan kehakiman kita. Dalam satu sistem Negara demokrasi, mahkamah adalah benteng terakhir dalam sistem yang sedia wujud untuk rakyat mendapat keadilan. Akan tetapi perkembangan sejak tahun 1988 telah menunjukkan badan kehakiman kita telah hilang kebebasannya dan terus mencabuli hak rakyat.

 

Cukup sudah kita mengharapkan perubahan dalam sistem yang sedia ada. Ia telah korup sampai ke akar umbi maka reformasi dalam sistem ini tidak boleh dibuat. Kita perlukan satu sistem yang lebih adil dan melindungi hak rakyat. Perubahan ini hanya boleh dibawa oleh kuasa rakyat dan kuasa rakyat ini harus bangkit menentang kezaliman yang berlaku ini.

 

Jom kita beri sokongan kepada 13 orang komrad kita yang telah dipenjarakan hari ini dan ramai lagi pejuang  rakyat yang telah dihukum atau masih menghadiri perbicaraan di mahkamah kerana memperjuangkan hak rakyat. Hanya kuasa rakyat yang bangkit boleh menyelamatkan mereka dari penindasan kerajaan yang zalim ini.

 

Sempena hari Malaysia, JERIT memberi tabik hormat kepada 13 aktivis rakyat yang dipenjarakan hari ini.

 

JERIT mengucapkan Selamat Hari Malaysia yang ke 50 kepada semua rakyat Malaysia . Bersama kita memperjuangkan Malaysia yang lebih adil dan  saksama dimana hak asasi rakyat dilindungi. Hanya Kuasa Rakyat boleh membawa Perubahan !

  

Sekretariat JERIT

 JARINGAN RAKYAT TERTINDAS(JERIT)

Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link