MEMO DI PARLIMEN 8 OKTOBER 2014 - BATALKAN PENGURANGAN SUBSIDI MINYAK YG MENAIKKAN HARGA MINYAK PDF Print E-mail
Wednesday, 08 October 2014

 

 

 


MEMORANDUM KEPADA

 

YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

Dato’ Sri Najib Tun Razak

 

 

BATALKAN PENGURANGAN SUBSIDI MINYAK

 

YG MENAIKKAN HARGA MINYAK

&

HENTIKAN PERLAKSANAAN CUKAI GST

 

PADA 1 APRIL 2015

 

OLEH :

 

GABUNGAN BANTAH CUKAI GST

&

PROTES KENAIKAN HARGA MINYAK

 

 

 

 

 

Kami wakil-wakil dari  Badan-Badan Bukan Kerajaan, Organisasi Komuniti ,  Kesatuan Sekerja dan Parti-Parti Politik Nasional menuntut kerajaan untuk hentikan polisi –polisi yang membebankan rakyat.

 

Kerajaan Barisan Nasional telah menjanjikan sebelum PRU 13 bahawa tidak akan menaikkan Harga Minyak dan juga tidak akan membebankan rakyat dengan apa –apa polisinya.

 

Namun, setelah menang pilihanraya banyak polisi yang membebankan rakyat telah mula diamalkan.  Selepas PRU13 sahaja, Kerajaan BN khususnya Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak  telah memungkiri janji kononnya tidak akan menaikkan harga bahan api sepertimana yang terkandung di dalam Manifesto dan janji-janji pilihan raya mereka menjelang dan semasa PRU13.

Kenaikan pertama 20 sen seliter pada 2013 dan terbaru pada 1 Oktober 2014, kenaikan dengan kadar 100%, iaitu 20 sen seliter. Purata kenaikan 40 sen seliter dalam tempoh setahun ini adalah sangat besar apatah lagi jika kita melihat kesan berantai terhadap harga barangan dan perkhidmatan yang lain. Ditambah pula dengan pergerakan tangga gaji rakyat yang hampir tiada.

Berdasarkan rekod kajian kami, dalam minggu lepas,  kebanyakan dan hampir semua media-media berkaitan ekonomi melaporkan penurunan dan kejatuhan harga minyak ; Telegraph UK, Bloomberg, Wallstreet, The Globe & Mail, Edmotoon Journal dan Business Week melaporkan kejatuhan harga minyak dunia. Bahkan ada yang menyebut ia jatuh sehingga ke paras paling rendah dalam tempoh 4 tahun kebelakangan ini. Maka apakah rasionalnya terhadap rasionalisasi subsidi minyak pada masa kini yang menyebabkan peningkatan harga minyak?

Bukan itu sahaja, kerajaan BN telah meluluskan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Cukai GST) yang bakal diimplementasi pada 1 April 2015. Tindakan kerajaan sebegini akan lebih membebankan rakyat biasa terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Impak Cukai GST & Kenaikan Harga Minyak ialah :

  1. Kenaikan Harga MinyaK & Cukai  GST akan membebankan rakyat dan memburukkan lagi inflasi

 

·         Pengurangan subsidi minyak yang menyebabkan kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos hidup rakyat biasa dan juga akan mengakibatkan kenaikan harga barangan lain dan meningkatkan inflasi.

·         Manakala, pelaksanaan cukai GST yang tambah nilai ke atas harga barangan pastinya akan memburukkan lagi inflasi sehingga beban rakyat biasa bertambah hebat.

 

·         Gaji sebenar rakyat biasa Malaysia tidak bertambah mengikut peningkatan kos kehidupan. Gaji minima RM 900 untuk Semenanjung dan RM 800 untuk Sabah dan Sarawak adalah begitu rendah sekali. Golongan berpendapatan rendah tidak mampu menanggung beban tambahan akibat daripada  kenaikan harga minyak sekarang  dan pelaksanaan GSTpada tahun hadapan.

 

·         Rakyat sedang berdepan dengan gelombang kenaikan harga yang begitu hebat, dengan kenaikan harga gula, tambang bas, tambang LRT, bayaran tol, cukai taksiran, tarif elektrik dan sebagainya. Ini sudah pun amat membebankan, apatah lagi dengan pelaksanaan cukai GST yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015?

 

·         Walaupun kerajaan mengatakan bahawa akan mengecualikan cukai GST atau menetapkan kadar 0% untuk barangan keperluan asas, tetapi cukai GST akan menyebabkan harga input untuk barangan tersebut turut meningkat sehingga menaikkan harga barangan tersebut. Tambahan pula, memang kerajaan tidak dapat menjamin bahawa pelaksanaan GST tidak akan menyebabkan harga barangan terus naik.

 

·         Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) setahun sekali tidak mencukupi untuk menangani kesan hasil daripada pelaksanaan GST yang memaksa rakyat berpendapatan mengeluarkan lebih wang untuk membayar cukai GST setiap kali membeli barangan pada setiap hari.

 

 

2.    Kenaikan harga minyak & Cukai GST mengurangkan kuasa membeli rakyat biasa dan menjejaskan ekonomi

 

·         Kenaikan harga minyak dan  Pelaksanaan GST yang akan menyebabkan kenaikan harga barang akan mengurangkan kuasa membeli rakyat biasa.

 

 

·         Wang yang boleh dibelanjakan oleh rakyat bawahan dan kelas menengah akan terus merosot. Ini akan menyebabkan rakyat kurangkan perbelanjaan untuk barangan keperluan asas yang dihasilkan oleh pengilang tempatan sehingga menjejaskan ekonomi domestik.

 

 

 

  1.  Kenaikan harga minyak & Cukai GST memaksa rakyat bayar untuk kegagalan pengurusan kewangan oleh kerajaan

 

·         Korupsi, ketirisan, salahguna kuasa dan penyelewengan telah menyebabkan negara kita kehilangan sekurang-kurangnya RM 28 bilion setahun. Ini merupakan kegagalan kerajaan menguruskan kewangan awam dan menangani gejala rasuah, tetapi sekarang rakyat dipaksa untuk membayar kos yang disebabkan oleh kegagalan ini.

 

·         Kerajaan gagal memastikan golongan kaya dan korporat membayar cukai, malah membiarkan pengaliran wang secara haram sebanyak RM 174 bilion dalam tempoh satu tahun sahaja untuk 2011. Kerajaan memaksa rakyat biasa membayar cukai apabila golongan kaya melarikan diri daripada membayar cukai. Ini bagaikan menghukum seseorang disebabkan kesalahan orang lain.

 

·         Kerajaan tidak patut mengurangkan subsidi yang diberikan kepada rakyat dan mengutip cukai GST daripada rakyat jelata selagi masih gagal menyelesaikan masalah ketirisan dan penyelewengan yang berleluasa dalam sistem pentadbiran.

 

 

Pengurangan subsidi kepada rakyat & Cukai  GST adalah satu hukuman ke atas rakyat miskin akibat daripada kegagalan kerajaan menguruskan kewangan dengan efisien dan kegagalan  mengutip cukai daripada golongan kaya. Polisi-polisi kerajaan sekarang akan memiskinkan rakyat lagi.

 

Maka bagi pihak rakyat Malaysia , kami menuntut YAB Perdana Menteri , dengan segera ;

 

1)  Batalkan Pengurangan Subsidi Minyak Yang Meningkatkan Harga Minyak Sekarang !

 

2)   Hentikan Rancangan Untuk Melaksanakan Cukai GST & Adakan Referendum Untuk Mendapatkan Persetujuan Daripada Rakyat Sebelum Tergesa-Gesa Melaksanakan Cukai GST.

 

3)    Menuntut Ahli –ahli Parlimen untuk Membawa Usul Tergempar mengenai Isu-isu ini di Parlimen

 

Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link